20082008 - Tarikh Keramat
Saturday, August 23, 2008
Cuti kali ini aku terlalu sibuk dengan tugasan yang perlu diselesaikan hingga terlupa tarikh yang amat bermakna buatku. Ulang tahun perkahwinan kami yang ke-11. Rupanya dah sebelas tahun usia perkahwinan kami. Banyak pahit manis yang sudah kami lalui bersama. Semoga perkahwinan ini akan kekal hingga ke akhir hayat kami.


Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi yang Allah anugerahkan dalam diri setiap lelaki mahupun perempuan. Kecenderungan berpasangan ini telah terbukti di sebalik imbauan sejarah penciptaan Hawa. Ketika nabi Adam tinggal di syurga, baginda melihat semua makhluk lain berpasangan sedangkan baginda keseorangan. Lantas, Allah yang Maha Mengetahui isi hati Adam menciptakan Hawa sebagai penghibur dan teman Adam sebagaimana firman Allah yang bermaksud “Dialah yang menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isteri agar kamu merasa senang kepadanya.”

Menurut Islam, perkahwinan bukan atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama. Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan shahawat tetapi untuk memenuhi kehendak misi kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah. Kerna itulah, setiap muslim perlu merancang dan berusaha agar perkahwinan mereka tergolong dalam perkahwinan mithali.

 
posted by Rozita bt. Paiman at Saturday, August 23, 2008 | Permalink 3 comments