Memacu diri
Friday, July 25, 2008
Khamis (24 Julai 2008)
Pertama kali aku terpaksa menguruskan kedatangan 20 orang tetamu ke sekolah yang terdiri dari wakil KPM, JPN, MIMOS dan TIME. Kedatangan mereka untuk memantau peralatan PPSMI fasa 6. Bukan setakat memantau malah aku berjaya menjawab pelbagai soalan yang diajukan mereka. Alhamdullillah, jawapan yang diberikan memang menepati kehendak mereka . Apabila jawapan humor yang aku berikan agak menggamatkan bilik mesyuarat kerana ada juga soalan-soalan nakal yang dikemukakan tak sesuai langsung untuk pemantauan tersebut. Gitu le kalau dah jadi orang atas....

Sementelah pula, Guru Besar aku sedang berada di UTM untuk mengikuti kuliahnya (Pengijazahan Guru Besar). Bila dilihat pula, GPK 1 aku lebih, mendiamkan diri dalam bilik itu. Aku positifkan situasi bahawa dia seumpama memberi ruang dan peluang untuk aku menanganinya sendirian. Sabo je ler....

Foto diambil dari laman web PPD Kluang.
Link ke Laman Web PPD Kluang.
 
posted by Rozita bt. Paiman at Friday, July 25, 2008 | Permalink 5 comments
Rempuh atau berserah
Thursday, July 10, 2008
Pagi ini aku rasa tak sedap hati. Tak tahu pasal apa. Aku juga tak dapat tidur lena malam tadi. Sekejap-sekejap terjaga. Setiap setengah jam aku terjaga. Pagi-pagi ini pula aku kena hantar Along ke sekolah jam 6.00 pagi. Along kena pergi Sungai Mati, Muar bagi menyertai pertandingan UREKA, sempena Festival Sains Peringkat Negeri Johor. Kesian dia sebab aku hantar dia lewat sikit. Rasa serba salah pulak pada guru pengiring yang terpaksa menunggu kami. Nak buat macamana kalau dah lambat. Perkara dah berlaku. Minta maaf aje la. Nasib baiklah cikgu tu baik hati.

Perasaan aku masih sama bila aku pulang dari menghantar Along ke sekolah. Rimas rasanya. Aku terus telefon mak. Mak nasihatkan aku supaya buat sembahyang Dhuha. Bagus juga idea tu. Kata mak, sembahyang Dhuha akan melapangkan dada. Katanya lagi kalau kita rajin buat sembahyang Dhuha, kita akan dimurahkan rezeki. Terima kasih mak atas nasihatmu....

Hari ini juga aku ditugaskan ke SJK(C) Ping Ming, dengan tujuan menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Kajian status PPSMI Tahun 6 2008. Sesampai di sekolah tersebut aku sibuk memerhati kalau-kalau ada member-member yang mengikuti mesyuarat ini. Alamak... rupa-rupanya mesyuarat ini perlu dihadiri oleh guru besar dan pengetua. Silap masuk mesyuarat la. Dah datang kena rempuh aje la. Untuk kepastian, aku bertanyakan status diriku sebagai wakil guru besar semasa mendaftar nama di meja pendaftaran. Nasib baik ada lagi sekolah lain yang menghantar wakil. Lega rasanya.....

Moralnya: Jangan fikir yang bukan-bukan. Beranikan diri untuk menempuh sesuatu halangan. Seterusnya hampirkanlah diri kita kepada Nya supaya kita akan mendapat ketenangan di dunia dan di akhirat kelak. Insyallah....
 
posted by Rozita bt. Paiman at Thursday, July 10, 2008 | Permalink 2 comments
Bicara Rohani
Sunday, July 6, 2008
Hari Jumaat (4 Julai) lepas, aku menghadiri majlis perkongsian ilmu bersama guru-guru wanita SK Kampong Melayu. Majlis ini merupakan perbincangan tentang ilmu kerohanian. Kali ini topik yang dikupas berkenaan "Iman". Bila topik ini dikupas rupa-rupa banyak perkara yang kita ambil sambil lewa dalam hidup ini. Manusia mangkin seronok mengejar keduniaan dan hampir lupa akan akhirat.

Apa yang diterangkan oleh Ustazah Rosnani dari sebuah kitab agama bahawa terdapat 70 cabang Iman. Iman yang tertinggi ialah "mengucap dua kalimah syahadah" dan iman yang terendah ialah "membuang batu/ halangan dijalan raya".

Apa yang menariknya ialah kupasan tentang sifat malu. Malu merupakan salah satu dari cabang iman. Tanpa sifat malu maka seseorang tidak dapat meningkatkan keimanan mereka kepada Allah. Kerana tiada malu maka banyak perkara yang tidak baik dilakukan oleh manusia sekarang. Corak kehidupan juga sudah kebaratan.

Tiga perkara yang menyebabkan manusia hidup tanpa pegangan agama yang kukuh ialah:

1. Tiadanya sifat malu: Manusia sudah mula riak dengan apa yang mereka lakukan. Mereka tanpa segan silu melakukan perkara yang dilarang oleh agama seperti melakukan zina, minum arak dan ..........

2. Pemakanan : Makanan sekarang tidak dapat dikelaskan mana yang halal dan mana yang haram. Kita selalu was-was terhadap apa yang kita makan atau makan aje tanpa memikirkan apa ramuan yang terdapat dalam makanan tersebut. Kalau diteliti terdapat pelbagai jenis makanan ringan yang bertopengkan logo halal tapi adakah ianya benar2 halal. Anak2 kita makan makanan seperti itu setiap hari. Apa jadi pada mereka? Tak dengar kata, kurang ajar, buas dan.... salah siapa?

3. Pergaulan : Percampuran antara lelaki dan perempuan kini sudah jadi perkara biasa. Manusia mula lupa tentang adab2 pergaulan yang dibolehkan di dalam Islam. Jika dilihat disekolah-sekolah murid lelaki dan perempuan akan berada di dalam kelas yang sama tanpa ada sekatan. Kedudukan pula bersebelahan antara lelaki dan perempuan. Secara tidak langsung ianya telah memberi ruang kepada pergaulan yang tidak elok dan mencorak warnakan kehidupan mereka seterusnya dalam menilai pergaulan sesama manusia.


Moralnya : Carilah sesuatu yang halal supaya mendapat keredhaan Allah. Jangan terlalu leka mengejar keduniaan hingga lupa siapa yang kita ikut.....
 
posted by Rozita bt. Paiman at Sunday, July 06, 2008 | Permalink 4 comments
Kemalangan yang tidak diduga
Tuesday, July 1, 2008
Seperti biasa hari ini aku menjalani rutin harian aku jam 3.30 petang, menghantar Amira ke sekolah agama seterusnya menunggu Amir balik dari sekolah agama jam 4.15 petang. Tempat menunggu aku ialah di luar kawasan sekolah berhampiran dengan gerai bergerak yang menjual air, dan keropok lekor. Selalunya sambil menunggu Amir aku akan pekena sebungkus keropok lekor ataupun jambu.

Hari ini, Amir pulang agak lewat. Mungkin dia tidak perasan sebab hari ini mama dia pandu kereta Nissan untuk menjemputnya. Kancil dah tersadai kat bengkel. Minta pomen betulkan apa yang patut. Lagipun big bos nak menayang kereta baru. Bagi peluang kat dia la.

Sedang aku leka makan jambu sambil melihat-lihat Amir tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi dentuman yang sangat kuat. Masyaallah... bila aku toleh ke belakang rupa-rupa detuman itu datangnya dari kancil yang menghentam sebuah motor. Kesian kakak tu, bumper kereta kancilnya habis remuk. Motor budak tu pulak terselit bawah kereta kancil tersebut.

Mulalah aku teringatkan kereta kancil aku. Kalaulah kemalangan itu berlaku atas aku.... macamana la agaknya.


Dua keping gambar yang sempat aku rakamkan.


Moral dari peristiwa ini, aku perlu membawa pengenalan diri walau kemana aku pergi. Manalah tahu kalau terjadi perkara yang tidak diduga begini...
 
posted by Rozita bt. Paiman at Tuesday, July 01, 2008 | Permalink 6 comments
Jom Tengok....
Hari ini (30 Jun 2008 - Isnin) bila aku masuk ke perkarangan sekolah mataku terpandang kepada paparan yang dipaparkan di hadapan bilik guru. Seronok rasanya bila hasil kerjaku dipaparkan di situ. Tidak sia-sialah penat lelah aku menyediakannya sebelum ini.

Banting ini diletakkan di hadapan bilik guru.


Banting ini digunakan dalam pelancaran Program Kitar Semula di SK Kampong Melayu.

Program Kitar Semula ini merupakan idea guru besar SK Kampong Melayu En Lukman bin Dinyati. Dia memang bersungguh-sungguh dalam menjayakan program ini. Aku sekadar membantu dalam mewar-warkan tentang program ini kepada pelajar-pelajar. Harapan ku agar program ini akan berjaya dengan jayanya.
 
posted by Rozita bt. Paiman at Tuesday, July 01, 2008 | Permalink 1 comments